Isnin, 6 April 2009

'Fahrin masih lagi kawan'

ARKIB : 18/01/2009

Scha


Nama Scha atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya kini semakin dikenali. Wajah manis milik anak gadis dari Kedah ini semakin dapat tumpuan.

Selain berlakon filem dan drama, Scha, 26, kini mula mendapat perhatian apabila diberi kepercayaan mengacara program bual bicara secara langsung, Sehati Sejiwa di TV1.

Artis cantik di Malaysia ini tak sah kalau tak terpalit gosip. Ibarat satu asam garam pula tempias gosip kepada artis cantik di negara ini.

Scha digosip sedang menjalin cinta dengan pelakon Fahrin Ahmad. Terbaru ada pula imej Scha bersama kawan perempuan dan seorang lelaki yang aksinya nampak mesra.

Lelaki yang bekerja sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan itu dikatakan kekasih Scha. Benarkah begitu?

Scha sedia menjelaskan perkara itu kepada Pancaindera melalui wartawan ROSLI MANAH. Ikuti pengakuan Scha kepada Pancaindera.

Siapa lelaki dalam gambar yang tersebar di Internet itu?

Itu gambar Scha bersama kawan-kawan. Ya! Scha akui gambar yang diperkatakan itu memang gambar Scha dengan kawan-kawan. Lelaki itu bukan kekasih Scha. Dia kawan Scha sahaja. Benar dia seorang juruterbang.

Bila gambar itu dirakam?

Itu gambar lama... dan kalau gambar baru pun tak ada masalahnya bagi Scha, dia hanya kawan Scha. Scha pun tak tahu macam mana gambar itu boleh tersebar. Agaknya ada orang yang sengaja nak menghangatkan Scha. Bagi Scha benda itu tak ada apa-apa pun dan ia bukanlah gambar dalam kelab. Ia gambar semasa kami keluar makan-makan. Scha tak faham macam mana orang boleh buat tanggapan lelaki itu kekasih Scha, asal tengok gambar sahaja, terus buat tanggapan sebagai pasangan kekasih.

Rasa tercemar dengan gosip?

Semasa mula-mula buat keputusan untuk jadi artis, Scha dah sedia maklum pasal benda-benda ni. Kata orang kalau takut digosip jangan jadi artis, jadi Scha sudah bersedia menerimanya.

Gosip ada kebaikannya bukan?

Bagi Scha ia ada pro dan kontranya. Ada yang lebih ingat Scha apabila ada gosip pasal Scha dengan Fahrin, ada yang membuat pengenalan diri Scha sebagai Scha Fahrin. Ia membantu juga orang ingatkan nama Scha, tapi kalau gosip yang keterlaluan boleh mendatangkan keburukan.

Bagaimana hubungan dengan Fahrin?

Scha dah banyak kali bercakap pasal hubungan Scha dengan Fahrin. Scha tak mahu melukakan hati mana-mana pihak dengan kenyataan Scha. Lagipun Scha takut kalau kenyataan Scha bercanggah pula apabila asyik bercakap pasal perkara itu. Scha masih berkawan dengan Fahrin. Sekarang kira masih dalam peringkat mengenali hati budilah. Kami rapat sebab berlakon bersama dan Fahrin banyak membantu Scha yang masih baru ini.

Scha dah nak masuk usia 26 tahun. Kira dah sesuai untuk kahwin tu?

Scha mahu cari duit dulu, kalau kahwin sekarang kesianlah keluarga Scha di kampung. Tak sempat Scha nak bantu. Scha mahu kerja dululah sebelum fikir ke arah itu.

Apa aktiviti terbaru Scha?

Sekarang Scha jadi pengacara rancangan Sehati Sejiwa di TV1. Ini pengalaman baru Scha dan Scha tak mahu sia-siakan peluang ini. Scha akui Scha seorang yang pendiam sebenarnya, jadi apabila jadi pengacara, Scha kena banyak belajar. Scha ada juga tonton program yang menampilkan pengacara lain untuk membolehkan Scha belajar.

Sekarang Scha tumpukan perhatian kepada program ini kerana Scha mahu menampilkan kemampuan Scha.

Ada minta bantuan Fahrin?

Memang Scha minta pertolongan Fahrin sebab dia sudah banyak pengalaman menjadi pengacara. Untuk episod pertama, Scha memang banyak bertanya Fahrin dan meminta tunjuk ajarnya.

Banyakkah kutip pengalaman artis lain berumahtangga daripada program itu?

Memang Scha banyak belajar daripada pengalaman artis lain yang sudah lalui hidup berumahtangga dan Scha boleh jadikan ilmu apabila Scha sendiri ke alam berumahtangga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan