Isnin, 6 April 2009

Scha bangga kerana Bella

Arkib Berita: 9 Apr 2008
Ramlah Zainal

PERJALANAN karier seninya baru bermula. Namun Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, 24, atau mahu dikenali sebagai Scha Al-Yahya kini menjadi buruan pengarah dan produser drama serta filem.

Tawaran berlakon terus mencurah buat pemenang Dewi Remaja 2005/06 ini.Gelaran yang diraihnya itu juga turut menjadi �batu loncatan� buat bekas pramugari AirAsia ini mencari tapak dalam bidang lakonan.

Scha yang juga anak saudara penyanyi dan penerbit program televisyen, Datin Sharifah Sheril Aida Syed Kechik sudah pun menyiapkan dirinya dari aspek mental dan fizikal sejak awal lagi.

Tidak cukup dengan itu, semangat dan kata-kata perangsang daripada keluarga menjadi kekuatan untuk gadis berdarah kacukan Melayu-Arab-Cina ini terus meneroka cabang seni yang semakin diminatinya.

Katanya, pada peringkat awal dia sendiri memang tidak tahu ada bakat berlakon atau tidak. Namun berkat dorongan ibu yang mahu dia mencuba berlakon, Scha memberanikan dirinya.

�Bukan mudah untuk saya bersetuju mencuba sebaliknya keputusan itu dibuat selepas berfikir masak-masak. Tawaran pertama saya terima untuk berlakon drama Honeyz dari produser Mariana Hashim dua tahun lalu.

�Saya juga terima tawaran Mariana kerana menganggap ia rezeki yang datang ketika itu,� katanya.

Ternyata langkah pertamanya itu tidak membuahkan hasil membanggakan apabila lakonan sulungnya itu tidak dapat disaksikan hingga kini.

Walaupun begitu, ternyata ia bukan penamat peluang untuknya. Scha dilamar pula Aziz Chunk Adnan untuk beraksi dalam filem aksi komedi, Antoo Fighter terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).

Kali ini Scha diberi kepercayaan melakonkan watak utama sebagai anggota kumpulan pemburu jembalang, Antoo Fighter bergandingan dengan Poji (Radhi OAG), Tasha (Alin), Rambo (Bronze) dan Opie (Bell). Tidak ketinggalan, pelakon terkenal seperti Awie dan Harun Salim Bachik.

Dalam filem aksi komedi ini, Scha memegang watak Lara Lenjan, gadis punk yang agresif dan bekerja sebagai pemandu teksi. Tapi filem ini juga belum dapat disaksikan penonton untuk melihat kemampuannya berlakon.

Scha mengakui seronok sepanjang 45 hari di lokasi penggambaran Antoo Fighter dan tidak sabar menanti reaksi penonton apabila ia ditayangkan di pawagam Disember nanti.

Walaupun begitu, tawaran untuknya terus ada. Selepas Antoo Fighter, Scha berlakon pula filem Histeria arahan James Lee. Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd itu bakal ditayangkan Ogos nanti.

Kali ini gadis tinggi lampai kelahiran Sungai Petani, Kedah ini membawa watak pelajar sekolah bernama Alisa. Ia turut dibintangi Liyana Jasmay, Vanidah Imran dan Ady Putra.

Scha juga berpeluang bekerja dengan pelakon dan pengarah Afdlin Shauki dalam filem Papadom juga terbitan Tayangan Unggul dan menjalani penggambaran tahun lalu. Ia dijangka ditayangkan Oktober nanti. Selain Afdlin, ia turut dibintangi Norkhiriah, Farid Kamil dan Liyana Jasmay.

Semua filem yang dibintangi itu belum dapat disaksikan penonton. Bagaimanapun lakonannya dapat disaksikan di televisyen setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang menerusi slot Akasia di TV3. Drama 60 episod arahan Adam Hamid itu kini rancak menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang.

Scha yang ditemui di lokasi Bella di Glory Beach Resort, Port Dickson, baru-baru ini berkata, dia bangga lakonannya kini dapat dilihat menerusi Bella. Sebelum ini ada juga lakonannya disiarkan di televisyen tetapi hanya watak kecil.

�Dalam Bella saya bukan memegang watak utama tapi hanya pembantu peribadi kepada Bella bernama Sofia.Tapi saya bangga berpeluang bekerja dengan pelakon berpengalaman seperti Ako Mustafa dan Elly Mazlein.

�Saya juga bangga kerana semua watak yang saya lakonkan dalam drama atau filem adalah berlainan dan memberi cabaran tersendiri,� katanya.

Scha mengakui dirinya masih cetek dalam bidang lakonan dan masih banyak yang perlu dibaiki. Apapun, katanya, dia beruntung kerana dengan nama yang belum kukuh, ramai pengarah dan produser tetap memberi kepercayaan kepadanya beraksi dalam filem serta drama mereka.

Watak yang ditawarkan pula bukan calang-calang sebaliknya watak utama. Pada masa sama, Scha mengakui tidak terkilan apabila ada orang membandingkannya dengan pemenang Dewi Remaja 2002/03, Annahita Bakavoli yang sudahpun mencipta nama sebagai pelakon dan pengacara.

�Saya juga tidak kecewa atau putus asa bila orang kata nama saya tidak menyerlah seperti Annahita. Tapi selepas menang Dewi Remaja, saya sibuk di lokasi penggambaran drama dan filem.

�Mungkin belum masanya untuk saya mengecap populariti daripada lakonan kerana filem yang dijayakan belum ditayangkan. Orang ramai belum dapat menilai kemampuan sebenar saya dalam bidang lakonan,� katanya.

Dalam pada itu, tawaran untuk iklan komersial juga banyak diterima Scha. Tambahan pula Scha bermula dengan iklan dan ia sudah sebati dengan dirinya. Antara yang menampilkan wajahnya ialah iklan Streamyx, Oral B, Watson, Nokia, Ikea dan banyak lagi.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir

TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983

STATUS: Bujang

ASAL: Sungai Petani, Kedah

ADIK BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik

AKADEMIK: Diploma Teknologi Maklumat, Kolej PTPL

PROFESSION: Model iklan dan pelakon

DRAMA: Impian Illyana, Honeyz, Bella

FILEM: Antoo Fighter, Histeria, Papadom

IKLAN: Hotlink, Olay, Pantene, Power Root, Streamyx, Oral B, Watson, Nokia dan Ikea.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan